Post Views: 41
SELANGOR, 31 OKTOBER 2023 (SELASA)- YB Datuk Armizan Mohd Ali, Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini telah merasmikan program Hari Terbuka 2023 yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) bertempat di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM).
Objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran dan literasi berkenaan undang-undang persaingan dalam kalangan komuniti IPT demi melahirkan generasi baharu yang akan menjadi peneraju dalam penguatkuasaan undang-undang persaingan serta pemerkasaan peranan MyCC sebagai agensi kawal selia dan penguat kuasa undang-undang persaingan di bawah KPDN.
Turut diadakan, Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) di antara MyCC dan tiga (3) buah universiti awam iaitu Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). MyCC turut melaksanakan aktiviti sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kepada sembilan universiti yang merupakan rakan kerjasama strategik iaitu UM, UKM, UPM, UiTM, UUM, UIA, USIM, UniSZA dan UNIMAS untuk membantu pelajar yang kurang berkemampuan selaras dengan inisiatif Kementerian dalam meringankan beban dan kos sara hidup rakyat.
Turut hadir, YB Senator Puan Hajah Fuziah Salleh-Timbalan Menteri KPDN, YBhg. Dato’ Seri Mohd Sayuthi Bakar-Ketua Setiausaha KPDN, YBhg. Datuk Roziah Abudin-Timbalan Ketua Setiausaha PPDN KPDN, YBhg. Dato’ Seri Hishamudin Yunus-Pengerusi MyCC, Pengarah-pengarah dan Pegawai Kanan Kementerian.





