RAMBUT panjang memang sinonim dengan penyanyi rock pada 1980-an hingga 1990-an. Itulah penampilan awal kugiran tempatan seperti Search, Wings, Lefthanded dan Bumiputra Rockers. Bagi rockers-rockers ini, imej rock mereka tidak sempurna tanpa rambut panjang. Ia adalah identiti maka memotong rambut pendek bermakna mengorbankan identiti mereka.

Isu rambut panjang sangat hangat diperkatakan ketika muzik rock berada di kemuncaknya. Search dengan lagu ‘berhantunya’, Isabella mencatat kejayaan besar setelah meraih Anugerah Juara Lagu pada 1989 dan menembusi pasaran Indonesia. Lagu itu turut diangkat menjadi filem pada 1990 dengan menampilkan Amy Search dan aktres Indonesia, Nia Zulkharnain sebagai pelakon utama. Agak malang, rambut panjang artis rock ini dikaitkan sebagai `imej negatif’. Sebelum itu, mereka telah terpalit dengan pelbagai kontroversi termasuk gaya hidup yang bebas dan ganas. Insiden ‘rusuhan’ semasa konsert Battle Of The Band di Pulau Pinang pada 1986 juga menconteng arang ke muka artis rock.

Rock selepas itu mula disinonimkan dengan hedonisme dan budaya kuning. Semua yang berkaitan dengan rock dilihat negatif baik dari segi muzik mahupun penampilan. Kemuncaknya, penampilan artis rock yang berambut panjang diharamkan oleh kerajaan pada 1990. Penyanyi Wings, Awie atau Datuk Ahmad Azhar Othman tidak pernah melupakan detik bersejarah pada 1 November 1992 apabila rambutnya dan Amy Search dipotong oleh Menteri Penerangan ketika itu, Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat. Upacara potong rambut itu disiarkan secara langsung di RTM.

Kata Awie, walaupun tidak bersetuju pada awalnya, namun Wings dan Search rela memendekkan rambut sebagai bukti bahawa mereka dan artis rock lain tidaklah sejahat seperti yang disangka. Walaupun sepanjang dua tahun ‘berdegil’ tidak mahu memendekkan rambut dan penampilan mereka diharamkan oleh kerajaan, Awie berkata, perkara itu tidak memutuskan rezeki mereka. Katanya, mereka masih mampu menjana pendapatan melalui undangan persembahan di fun fair dan pesta-pesta yang rata-ratanya dihadiri ribuan peminat.

Namun mengorbankan identiti bukan sesuatu yang mudah. Sisipan Mingguan Malaysia, Panca pada 8 November 1992 melaporkan, Amy dan Awie menangis selepas dipotong rambut pada upacara itu. Gambar mereka berpelukan sambil menangis yang dibidik jurugambar, Jefri Iran juga dipaparkan. Wartawan terkenal, Juwie melaporkan, Amy berasa sedih kerana dia sudah 10 tahun membela rambut tersebut dan menganggap imej tersebut sebagai satu daripada perjuangan mereka selama terlibat dalam bidang seni.

Penampilan kedua-dua kumpulan itu selepas memotong rambut masih ada imej rock kerana syarat kerajaan ketika itu, rambut lelaki tidak boleh panjang melepasi paras bahu. Rambut mereka masih panjang dan muzik mereka masih pekat irama rock. Cuma selepas peristiwa itu, populariti mereka tidak lagi sehebat dulu. Genre lain seperti balada juga sudah mula mendapat tempat di hati peminat. Di Barat pula, muzik hip hop perlahan-lahan mengumpul pengaruh.

Search dan Wings turut merasai kesuraman muzik rock sehingga Amy dan Awie masing-masing mula mengatur langkah membina kerjaya secara solo. Amy tampil dengan album solo pertamanya, Magic pada 1994 dengan imej botak manakala Awie juga menghasilkan album solo berjudul Awie pada tahun yang sama.